TENGKU MAHKOTA TINJAU PEMBANGUNAN PEKAN

Lawatan dimulakan dengan majlis memuliakan keberangkatan baginda yang berlangsung di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato’ Tan Aminuddin Ishak, Pemangku Pegawai Daerah Pekan, Abdul Basik Mohd Sah, wakil-wakil rakyat dalam Parlimen Pekan dan ketua-ketua jabatan kerajaan. Ia diikuti dengan taklimat pembangunan Daerah Pekan yang disampaikan oleh Abdul Basik.
Selepas itu, baginda telah menghadiri majlis santapan tengahari bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat Daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah.
Hari pertama juga menyaksikan baginda mempunyai jadual lawatan yang padat apabila turut berangkat ke taklimat menaik taraf Loji Air Nenasi, melawat tapak masjid baru Nenasi dan melancarkan pencawang agihan bekalan elektrik luar bandar ke Kampung Serun.
Kemudiannya baginda telah berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Bebar. Sewaktu majlis tersebut baginda telah menyampaikan sumbangan kepada murid-murid Orang Asli yang cemerlang dalam pelajaran dan warga emas.
Lawatan hari pertama diakhiri dengan majlis santapan malam bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat Daerah Pekan.
Hari kedua lawatan pula menyaksikan baginda melawat tapak hospital baru Pekan, melawat Ladang LKPP Goldkist Sdn Bhd di Batu 8 Lepar, menghadiri majlis bersama rakyat di Mukim Lepar dan santapan tengahari.
Pada sebelah petangnya, baginda telah berangkat ke Pesta Menuai dan Mengemping di Tapak Projek MOA Inc. Pahang Tua. Disitu baginda turut menyertai cara menuai dan mengemping padi.
Pada malamnya, baginda telah menghadiri pula Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Dataran Masjid Daerah Pekan.
Hari terakhir lawatan pula menyaksikan baginda telah berangkat ke empat program rasmi iaitu Perasmian Sekolah Kebangsaaan Mambang, melawat Ladang Kurnia Setia, Paloh Hinai diikuti dengan perlawanan persahabatan bola sepak antara Pasukan Tengku Mahkota Pahang dengan Pasukan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chini.
Lawatan baginda diakhiri dengan majlis santapan malam bersama ketua-ketua jabatan, pemimpin dan masyarakat FELDA di Padang DARA, Chini.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan kereta jenazah kepada Penghulu Mukim Penyor dan Pegawai Bakti Pekan.































